بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 
BIOGRAFI RINGKAS 
 TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK 
AL-KHALIDI
(B.A., M.A. dan Ph.D. Universiti Malaya)
Tuan Guru Hj Jahid bin Hj Sidek dilahirkan pada 11 Februari, 1940 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. 
PENDIDIKAN
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu 
(Kebangsaan) dan Tamat Darjah 6. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran 
ke Sekolah Agama Kerajaan Johor sampai Darjah Khas dan menerima Sijil 
Darjah Khas yang melayakkannya untuk menjadi Guru Agama di 
Sekolah-sekolah Agama Johor pada tahun 1957. Kemudian beliau meneruskan 
pengajian ke Sekolah Arab Kluang Batu 1 Jalan Mersing, Johor (dari tahun
 1956 hingga 1958). Awal tahun 1959 beliau melanjutkan pelajaran ke 
Kolej Islam Malaya, Klang dan mendapat Sijil Tertinggi Kolej Islam pada 
1963. Awal tahun 1964 beliau mula berkhidmat sebagai Guru Agama di 
Sekolah Menengah Inggeris Jasin Melaka sehingga bulan Mei, 1968. Pada 
awal tahun 1969 beliau mengajar di Sekolah Menengah Tun Perak, Muar, 
Johor sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada 
awal bulan Mei, 1969. Pada Tahun 1972 beliau memperolehi Ijazah 
peringkat Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya 
beliau memperolehi Ijazah peringkat Sarjana (M.A.) dalam bidang Usul 
Fekah (1975) dan Ijazah peringkat Kedoktoran (Ph.D.) daripada Universiti
 yang sama (1992) dalam bidang Tasawwuf.
KERJAYA
Pada awal bulan Januari, 1972 beliau dilantik sebagai
 Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang 
Ulu, Muar, Johor. Pada tahun 1993 beliau dilantik sebagai Pensyarah di 
Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sastera Universiti Malaya. Pada Tahun 
1994 beliau dipindahkan bertugas di Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, 
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya sehingga beliau bersara pada 
akhir tahun 1995. Pada tahun 1993 beliau telah dinaikkan pangkat sebagai
 Profesor Madya sehingga beliau bersara.
KEGIATAN DAKWAH
Beliau telah giat mengajar di masjid dan surau di 
sekitar Lembah Klang mulai dari akhir tahun 70 an lagi. Kegiatan Dakwah 
yang dilakukan makin rancak apabila beliau berhijrah daripada Petaling 
Jaya ke Kampung Melayu Sri Kundang. Di Kampung yang baru dibuka, beliau 
bersama-sama penduduk Kg Melayu Sri Kundang telah mendirikan sebuah 
surau yang kemudiannya dinaiktaraf sebagai Masjid An-Nur, Kg Melayu Sri 
Kundang. Beliau juga pernah menjawat sebagai Nazir atau Pengerusi di 
Masjid tersebut selama 15 tahun. Di samping itu beliau telah mengasaskan
 Sekolah Agama Rakyat yang diberikan nama Sekolah Agama Rakyat An-Nur. 
Sekolah tersebut telah diambil alih oleh pihak Jabatan Agama Islam 
Selangor (JAIS) pada tahun 1998 dan sekarang menjadi Sekolah Rendah 
Agama di bawah JAIS. Mulai tahun 1993 beliau meningkatkan kegiatan 
dakwah ke beberapa buah negeri di Malaysia termasuk di negeri Johor, 
Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak. Di 
Johor Bahru beliau mempunyai sebuah Madrasah iaitu Madrasah Babul 
Khayrat yang terletak di Jalan Suka, Kg Melayu Majidee, Johor. Di 
Kuantan juga beliau ada sebuah surau yang terletak di Kampung Chempaka 
Batu 17 Jalan Kuantan-Pekan berdekatan dengan Penjara Pernu yang diberi 
nama Madrasah Manaratil ‘Ilmi. 
Dakwah beliau lebih tertumpu kepada Ilmu Tasawwuf dan
 Tarekat. Beliau juga belajar dan beramal dengan tiga aliran tarekat 
iaitu Naqshabandiah Khalidiyyah, Ahmadiah dan Qadariyyah. Beliau telah 
dilantik oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai Ahli Majlis 
Tariqah-Tariqah Sufiyah (Jalsah Turuq Sufiyah) di bawah Enakmen Tarekat 
Tasawwuf Negeri Sembilan pada Mac 2007. 
Untuk meluaskan bidang dakwahnya, beliau telah 
membuka Pusat Rawatan Islam Manarah (PRIM). Kaedah rawatan yang 
digunakan dikenali sebagai Kaedah Refleksologi Islam yang jarang 
dilakukan oleh pengamal-pengamal rawatan tradisional secara Islam. Pusat
 Rawatan Islam Manarah ini juga telah berkembang luas dengan tertubuhnya
 beberapa cawangan di seluruh Malaysia seperti di Johor Bahru, Batu 
Pahat, Kuantan, Dungun, Kuala Terengganu dan Miri. Pusat Operasi PRIM 
terletak di Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, Rawang Selangor Darul Ehsan.
Dalam perubatan Tradisional Islam beliau telah 
berjaya mendirikan sebuah Pusat Perlindungan Penjagaan dan Rawatan para 
pesakit HIV yang beragama Islam dengan kerjasama pihak Majlis Agama 
Islam Selangor (MAIS). Pusat tersebut dikenali sebagai Istana Budi yang 
sekarang telah menempatkan 20 orang pesakit. Perlu disebutkan mungkin 
pusat perlindungan inilah yang mula-mula ditubuhkan yang seumpamanya di 
Malaysia. Pusat perlindungan ini sangat menarik perhatian ramai 
terutamanya perkara yang berkait dengan rawatan refleksologi Islam yang 
digunakan untuk merawat pesakit di samping perubatan moden. Beliau telah
 dianugerahkan Tokoh Pemulihan Ar-Riqab oleh Majlis Agam Islam Selangor 
atas kesungguhan dan kegigihan tersebut.
Dalam bidang dakwah juga beliau boleh dikatakan 
hampir setiap malam mengajar di Masjid dan Surau terutamanya di Lembah 
Klang begitu juga di Pejabat-pejabat kerajaan dan swasta di siang hari. 
Beliau juga ada mengajar tempat-tempat yang jauh seperti di Johor, Muar,
 Kuantan, Sarawak dan lain-lain.
Beliau juga sering mengadakan seminar mengenai Ilmu 
Tasawwuf dan Tarekat juga mengenai Rawatan Tradisional Islam. 
Berpuluh-puluh kertas kerja telah dihasilkan mengenai tasawwuf dan 
tarekat juga mengenai Rawatan Tradisional Islam. Beliau telah menulis 
beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin 
daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah 
Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman 
(Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah, Kedudukan Qiyas Dalam 
Perundangan Islam, Membentuk Jiwa Sufi dan lain-lain. Sekarang beliau 
sedang menyiapkan 2 buah buku yang pertama mengenai Perubatan 
Refleksologi Islam dan kedua mengenai permasalahan Adab di Dalam Ilmu 
Tasawwuf.
Beliau telah aktif menulis di akhbar dan majalah sejak berusia 17 tahun lagi dan artikel Majalah Warta Jabatan Agama Islam Johor Majalah al-Islam, Anis, Pengasuh sehingga ke Akhbar Utusan, Kalam.
Beliau telah aktif menulis di akhbar dan majalah sejak berusia 17 tahun lagi dan artikel Majalah Warta Jabatan Agama Islam Johor Majalah al-Islam, Anis, Pengasuh sehingga ke Akhbar Utusan, Kalam.
Beliau bersama murid-muridnya telah menubuhkan 
Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) yang telah didaftarkan 
tahun 2006 dan telah disenaraikan sebagai NGO Islam yang telah menerima 
geran tahunan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Selain 
daripada geran bantuan bulanan untuk penyelenggaraan Pusat Perlindungan 
Istana BUDI yang terletak di Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, Selangor 
Darul Ehsan.
